Saturday 28 July 2018

Indahnya bumi Kudat (Part 2)

Hari kedua

Pagi, kami bersarapan di The 9 Huts. Pagi ni baru berkesempatan untuk mengambil gambar sekitar chalet. Not bad chalet ni untuk weekend gateway, honeymoon atau leisure holiday. Rate RM200+ semalam untuk satu chalet. Mari kita lihat gambar sekitar dan dalam chalet itu sendiri...

Ada 9 chalet semuanya
Pandangan depan chalet
 Katil. Ada kelambu sebab banyak nyamuk
 Tempat storage barang. Oklah. No tv, iron & fridge
Selak pintu bilik macam ni je. Mencabar minda. No door knob

Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan chalet ni sebab ianya satu kelainan dan lain dari yang pernah pergi sebelum ni. 

Habis part review chalet. Ke mana kita pada hari kedua?? 

Destinasi pertama adalah..... 

Kampung Bavanggazo Rungus Longhouse

Secara tradisinya, orang Rungus tinggal di rumah panjang yang dibina di atas panggung seperti gambar di bawah.  Di Kg. Bavanggazo,  terdapat rumah panjang yang dibuka untuk lawatan kepada para pelancong dengan bayaran rendah RM2 bagi seorang dewasa. Rumah ini diperbuat dari buluh dan nipah. Lantai dari buluh. Seram nak pijak. 

Pandangan sisi rumah panjang

 Ruang tamu dan bilik-bilik. Rumah ini menpunyai 10 bilik. Dulu-dulu rumah orang Rungus boleh mengjangkau 75 bilik! 


Bilik tidur. Katil ready made dari buluh.

 Pakaian tradisi kaum Rungus. Ada hiasan manik πŸ˜†

Di satu sudut rumah panjang ini, terdapat beberapa orang penduduk tempatan yang menjual barang hiasan dari memanik seperti gambar di bawah. Kaum Rungus juga terkenal dengan kemahiran memanik dan tidak jauh dari rumah panjang ini terdapat Pusat Kemahiran Memanik. Kami rancang untuk melawat, tetapi nampaknya ia tidak begitu dikormesialkan. Hanya kelihatan beberapa orang penduduk yang tekun memanik untuk dijadualkan barang jualan. 

 Manik yang dijual penduduk tempatan

Kilang membuat gong Kampung Sumangkap. 

Kampung Sumangkap terletak tidak jauh dari Rumah Panjang Kaum Rungus dan terkenal dengan industri membuat gong. Gong sangat penting sebagai salah satu instrumen muzik tradisi bagi kaum Kadazandusun, Murut dan Bajau. Gong yang dihasilkan oleh penduduk kampung ini adalah dari sekecil tapak tapak tangan yang boleh dijadikan souvenier sehinggalah Gong gergasi. Gong-gong ini diperbuat dari zink dan ada juga dari tembaga. 

Gong-gong ini dijual kepada pengunjung dengan harga mengikut saiznya.

Tiket masuk adalah RM5 seorang dewasa. 

Gong gergasi
Dikatakan kos pembuatannya mencecah hingga RM5,600. Ia terletak di sebuah padang di Kampung ini berdekatan dengan pentas persembahan Gong. Saiznya menjangkau 6 meter lebar, bahagian daunnya pula selebar 0.9 meter dan 2.1 meter tepi kaki.

Gong gergasi ini dihasilkan menggunakan 19 kepingan aluminium bersaiz 1.2 meter x 2.4 meter serta 2 milimeter tebal. Pembuatan gong gergasi yang mengambil masa 5 minggu ini diilhamkan dan dibiayai sepenuhnya oleh kraftangan Malaysia.



Matahari tegak di atas kepala. Kami bergerak ke Tanjung Simpang Mengayau sebentar untuk repeat ambil gambar dan seterusnya ke Bandar Kudat untuk makan tengahari. 

Bandar Kudat

Bandar Kudat hanyalah sebuah pekan kecil di tepi laut. Kebanyakan premis-premis perniagaan terdiri dari rumah kedai dua/tiga tingkat. 

Kami bersiar-siar di Esplanade, tempat jualan pakaian bundle.


Seterusnya makan di Restoran Kampung Kelapa, tidak jauh dari Esplanade. 



Semua menu dalam gambar itu harganya RM69.50. Murah bukan? 
- nasi
- sawi goreng bawang putih
- sup asam pedas
- udang cili kering
- sotong goreng tepung
- tauhu sos tiram
- air kelapa
- jus epal

Selepas kekenyangan, kami pulang ke Chalet untuk berehat dan bersiar-siar di sekitar Pantai Bak-Bak

Pantai Bak-Bak

Hari Ahad, ramai pengunjung pantai. Laut yang tenang berbanding dengan keadaan laut di Tanjung Simpang Mengayau. Boleh mandi dan berkayak di sini. Ada jambatan buluh yang dibina untuk menyeberangi ke kolam mini di tengah laut. 



Tamat cerita hari kedua...   

Hari ketiga

Merupakan hari terakhir di Sabah. Pagi-pagi selepas sarapan kami bertolak keluar dari Kudat. Tiga jam perjalanan ke Kota Kinabalu. 

Kami singgah di beberapa tempat sepanjang perjalanan ke Kota Kinabalu antaranya... 

Jambatan Gantung Tamparuli


Jambatan Tamparuli terletak di Pekan Tamparuli, daerah Tuaran. Bersebelahan dengan pasar Pekan Tamparuli. Pekan Tamparuli dihuni oleh kaum Kadazan Dusun. Jambatan ini dibina semula setelah jambatan asal musnah oleh banjir besar pada tahun 1930-an. Jambatan ini pada asalnya menghubungkan masyarakat setempat yang dipisahkan oleh Sungai Kuili.  Kalau naik jambatan ni memang akan terasa berayun-ayun. 

Jambatan Tamparuli ni ada lagunya. Asal dari bahasa Dusun. Sejarahnya panjang nak tulis hehe. Boleh google ye... 

Lagu Jambatan Tamparuli

Pak pak saya melangkah
Menyusur hai jambatan
Jambatan si Tamparuli
Saya berkasut tinggi

Menyusur hai jambatan
Jambatan si Tamparuli
Pak pak saya melangkah
Saya berkasut tinggi

Celaka* kasut saya
Terjatuh di jambatan
Hanya tinggal stokin
Saya bawa pulang rumah

Pada hari rabu
Tamu di Tamparuli
Saya masuk serata kedai
Mencari kasut tinggi

Sumber : Rakan 1Klik

Berdekatan Jambatan Tamparuli adalah Rumah terbalik. Kami tak pergi pun, kesuntukan masa. 

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke Tuaran untuk menikmati Lokan Bakar. 

Di sini terdapat banyak kedai yang menjual lokan bakar, kelapa bakar dan puding kelapa. Jadi, tepuk dada tanyalah hati di mana anda ingin berhenti makan. 😁

Kami makan di Kedai Sri Menanti
Jalan Sulaman. 


Sedap lokan bakar kat sini. Harga sedulang/satu set untuk lokan bersaiz kecil adalah RM10. Cukuplah untuk makan dua orang. 


Kami pesan juga air kelapa dengan harga RM4 sebiji dan puding kelapa dengan harga RM2 satu bekas. Semuanya sedap! 

Selepas makan, kami singgah di Signal Hill Observatory Tower, Kota Kinabalu. 

For me, it is overrated place. 

Dari perkspektif saya, sekiranya menara observatori, kita mampu untuk melihat sekeliling bandar Kota Kinabalu 360 darjah, tetapi bila berada di sini, hanya permandangan 180 darjah kelihatan. Itupun, tidak cukup tinggi kerana permandangan laut yang cantik di hadang oleh bangunan. 

Tiada bayaran dikenakan dan ada kafe kecil di sini untuk kemudahan para pengunjung. 

Ini view dari menara.. 


Kami singgah sebentar di Pasar Kota Kinabalu dan Pasar Filifino untuk membeli bekalan pulang. 

Bergerak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 3.30 petang, memulangkan kereta* dan ready to fly back to home! 😊

* Kereta yang kami sewa adalah Saga Automatik dengan harga RM120 sehari tak termasuk minyak.

Not bad makan angin dalam Malaysia sebenarnya. . 




Indahnya bumi Kudat (Part 1)

Salam/hi semua,

Kali ini kita lompat sedikit baling belakang trip-trip yang lalu untuk memberi laluan kepada Trip Kudat pada 21-23 Julai lepas.

Sungguh, saya tidak pernah mengambil tahu apa yang ada di bumi Kudat sehinggalah seorang kawan mengajak untuk ke sana.

Tertanya-tanya apa yang ada di sana? Bunyi Kudat sudah menggambarkan suasana pedalaman, kampung yang tidak pasti apa yg ingin diterokai dan dipelajari.

Nah, ini hasil trip kami. Tiga hari 2 malam di Kudat dan beberapa pit stop dia sekitar Kota Kinabalu.

Hari pertama:

Penerbangan Air Asia ke Kota Kinabalu seawal 7.30 pagi. Dua jam setengah di dalam penerbangan dan tiba di Kota Kinabalu lebih kurang 10 pagi. Kami mengambil sarapan di Old Town Cafe, Kota Kinabalu Airport sementara menunggu untuk pick up kereta sewa pada pukul 11.45 pagi. Sepatutnya 11 pagi. Tiada kereta untuk kami, mungkin.

Perjalanan diteruskan. Kami sempat singgah di Universiti Malaysia Sabah kerana kawan saya bekas pelajar di situ. Tak lama pun, sekadar bergambar.


Gambar di atas adalah menara jam di dalam kawasan kampus Universiti Malaysia Sabah.

Perjalanan diteruskan ke bandar Kudat. Tiga jam perjalanan melalui jalan-jalan pedalaman dan pemandangan indah langit biru dan bukit bukau seperti gambar di bawah. Jalan yang tidak sibuk dan tiada lori dan bas. Jadi agak tenang untuk memandu.


Singgah si gerai penduduk tempatan untuk beli jagung bakar. Nampak sedap dari jauh. Bila makan, memang sedap. Lemak manis. Harga pun murah, RM5 untuk 4 buah jagung. Betul ke penjodoh bilangan buah jagung tu?? Selain jagung bakar, macam-macam lagi kedai mak cik ni jual.. Kelapa, pisang, kacang tanah, nenas dsb.


Lebih kurang 4 petang sampai di Tanjung Simpang Mengayau. Hari masih cerah, jadi kami ambil keputusan untuk terus ke Tip of Borneo atau Tanjung Simpang Mengayau.


Singgah di surau untuk qasar dan jamak Zuhur dan Asar. Surau bersih tapi bekalan air pula takde. Bergantung kepada tangki belakang surau yang air nya keluar memancut-mancut ke atas. Huhuhuh. 


Dan seterusnya.. Sampailah destinasi dituju. Angin kuat betul, kalau kurus macam aku ni memang rasa nak terbang atau nak jatuh. Permandangan superb. Ombak besar. Air laut yang kebiru hijauan. Permandangan yang sama sewaktu berkunjung di Melbourne, Great Ocean Road. Siapa kata kawasan pantai Malaysia tidak setanding luar negara?



Tip of Borneo

Dikenali sebagai Tanduk Negeri Sabah. Lihat peta negeri Sabah, ia kelihatan seperti kepala seekor anjing. Hujung tanduk anjing itulah yg dinamakan Tip of Borneo. Merupakan tempat pertemuan Laut Sulu dan Laut China Selatan. 



Memang kitorang tak turun la kat batu-batu tu. Angin kuat kencang. Rasa nak melayang apatah lagi nak cari pasal turun ke batu-batu semata untuk bergambar. Memang tidak lah! 

Dua gambar terakhir di atas di ambil pada hari kedua sebenarnya. Kami repeat sebab hari pertama tak sempat bergambar banyak tempat sebab hari dah semakin gelap. Sabah kan gelap awal dari semenanjung 😏

Berbalik kepada cerita hari pertama, lebih kurang 5.30 petang kami dah bergerak ke chalet untuk cek in. Jalan ke Tanjung Simpang Mengayau adalah tidak berlampu, dikelilingi hutan dan ladang kelapa sawit. Jarang ada rumah penduduk. Jadi tidak digalakkan untuk memandu selepas hari gelap. 

Di mana kami menginap? 

The 9 Huts on The Hill. Terletak lebih kurang 15 minit dari Tanjung Simpang Mengayau


Selepas cek in, kami makan malam ni restoran the 9 Huts sebab dah penat nak cari kedai makan lain. Order nasi goreng seafood. Taste biasa je. Kene minta cili potong sebab tekak tak selesa masakan sana. Harga sepinggan RM8. Gambar takde sebab lapar sangat

Rehat




Thursday 12 July 2018

Bangkok by train

21/10/2014 - 24/10/2014

Hari Pertama:

Tidak pernah terfikir untuk ke Bangkok menaiki keretapi memandangkan banyak desas desus pergolakan di Selatan Thailand yang agak rancak.

Seorang kawan mengajak untuk saya memulakan perjalanan dari Sungai Kolok, Selatan Thailand. Saya berasal dari Kelantan jadi, tahu jugalah selok belok tentang laluan ke Sungai Kolok.

Trip yang pendek. Empat hari tiga malam. Pergi dengan keretapi dari Sungai Kolok (saya balik kampung dahulu) dan balik ke Kuala Lumpur semula dengan flight Malindo Air.

Melepasi sempadan Rantau Panjang - Sg Kolok. Hanya berjalan kaki dari pekan Rantau Panjang melepasi sebatang sungai kecil (Sungai Kolok). Berenang pun boleh sebenarnya, kalau berani la. Dari Rantau Panjang dah nampak rumah-rumah perkampungan Sungai Kolok.

Berjalan dalam 20 minit ke sempadan untuk imigresen. Lepas selesai urusan imigresen (perlu isi arrival card, kemukakan pasport) kami meneruskan menapak ke stesen keretapi yang terletak lebih kurang 1km dari sempadan.

 Imigresen di sempadan Kelantan - Thailand

Pintu masuk stesen keretapi Sungai Kolok

Kawasan Sg Kolok memang dikawal oleh tentera tempatan. Nampak tak kelibat askar dalam gambar di atas, di stesen keretapi? Agak kecut perut tapi as usual, saya buat hati kering. Kami masuk ke stesen, beli tiket kelas 2 cabin ladies only. Harga lupa dalam rm100 per way macam tu.

Perjalanan selama 23 jam. Hehe. Bayangkan.

Sepanjang perjalanan di Selatan Thailand - dari Sg Kolok sehingga Patani, memang kelihatan tentera-tentera Thailand mengawasi landasan keretapi. Dalam hati terdetik, kalau landasan kene bom macamana lah??Erk..

Keretapi tidaklah selaju bullet train Japan, tapi cukuplah untuk merasai goncangan macam naik kuda. Tidur malam pun berjaga-jaga takut jatuh terjelepuk atas lantai. Tandasnya agak bersih untuk digunakan dan memandangkan koc kami untuk ladies sahaja jadi dapatla posing free style πŸ˜€.

Untuk mengisi masa lapang selain tidur, kami berbual, melihat pemandangan dan pesan makanan. Ini dia tom yam kum seafood dan ikan masam manis. Tom yam dia memang terbaik tak pernah rasa kesedapannya di mana-mana.

              Set nasi atas keretapi. Sangatlah sedap 

Bila dah lepasi selatan Thailand tu barulah debaran kencang hilang sedikit demi sedikit.

Hari Kedua:

Pukul 12.30 tengahari waktu Bangkok keesokan harinya, kami tiba di Stesen Keretapi Bangkok.


Kami keluar dari stesen, naik MRT ke stesen Chatuchak Park untuk ke hotel G9 Bangkok. Hotel dengan MRT dekat je tapi sebab tak tau, kene pow dengan pakcik taxi THB100. πŸ˜‚.

Petang, kami keluar bersiar di bandar Bangkok. Masuk keluar ke Hard Rock, shopping complex jalan jalan tanpa tujuan. Untuk dinner, kami ke Central Plaza. Ada beberapa restoran halal di dalamnya seperti Secret Recipe hehe (sekarang tak tau ada lagi ke tak). Kami naik taxi. Hari dah malam. Balik hostel dan rehat.

Hari Ketiga: Pagi-pagi lagi, kami ke stesen bas Bangkok Mo Chit (Mo Chit Bus Station) untuk mengambil bas ke Ayutthaya. Maklumat terbaru, dari 2016, bas ke Ayutthaya sudah dihentikan sebaliknya digantikan dengan minibus dengan bayaran THB200 seorang.

Ayutthaya tu apa?

Ayutthaya adalah sebuah bandar di Thailand, kira-kira 80 kilometer di utara Bangkok. Ia adalah ibu kota Kerajaan Siam, dan pelabuhan perdagangan antarabangsa yang makmur, dari 1350 hingga dibakar oleh Burma pada tahun 1767. Reruntuhan kota lama kini membentuk Taman Bersejarah Ayutthaya, sebuah tapak arkeologi yang mengandungi istana, kuil Buddha, biara dan patung-patung.

Ayutthaya adalah Tapak Warisan UNESCO di Bangkok.

Sampai di Ayutthaya, kami menyewa Tuk Tuk kerana tempatnya sangatlah luas dan memang tidak mampu untuk berjalan kaki di bawah panas terik.

Antara runtuhan dan bekas kuil yang kami lawati:

Ayutthaya Historical Park

 Wat Phu Kao Tong
Wat Lokayasutharam..masamnya muka

Budak minta sedekah di kawasan kuil

Selain kuil-kuil, ada elephant ride. Pada masa ini, saya masih tiada kesedaran tentang animal abusing, maka panjatlah naik elephant dengan kos lebih kurang RM90 seorang.

Senyum, sebenarnya takut jatuh atau gajah naik minyak tiba-tiba

Dan, kami nikmati aiskrim kelapa di sini.


Kami minta pemandu tuk tuk membawa kami ke restoran halal di sini. Memang tiada label halal, jadi order je tomyam seafood sahaja dengan nasi putih.

Balik semula ke Bangkok dengan bas. Balik hotel dan rehat sebab kaki dah rasa nak tercabut.

Hari keempat:

Pagi, kami ke Pasar Chatuchak. Harga barang murah, jadi shoppinglah saya sebarang dua dan berazam untuk datang lagi (sampai hari ini pun tak datang lagi sebenarnyaπŸ˜†πŸ˜†). Saya berpecah dengan kawan saya, membawa haluan shopping masing-masing dan hasilnya saya tersesat di tengah-tengah Chatuchak tak tau cari jalan keluar hehe. Pusing-pusing sampai tempat sama beberapa kali baru lah terjumpa kawan saya. Masa tu tak roaming. Kedekut.

Jam 11 pagi, balik ke hotel, bersiap dan check out untuk ke airport pulang ke Kuala Lumpur.

Sejenis gayat. Nak naik kapal terbang pun rasa pucat tidak tentu hala. Begitula travel dapat mengubah saya. Baca entri saya pun dah tau saya ni macamana...herm...

Sekian.



Tuesday 10 July 2018

Beginning of the journey - Perth (Part 2)

Untuk ke Australia, rakyat Malaysia perlukan visa. Untuk visa saya biasanya apply di sini πŸ‘‡ dengan kos AUD9.95

https://easyeta.com/

Imigresen Australia juga agak ketat. Banyak barang larangan tidak boleh dibawa masuk dan akan ditapis terlebih dahulu oleh Imigresen setibanya di Airport. Boleh semak web ini untuk barang larangan:

https://www.shipit.co.uk/Australia_Customs_Quarantine_Rules.htm

Hari kedua di Perth:

Pagi hari kedua, kami bersiar2 di sekitar Carventas. Seterusnya, bergerak ke Lancelin Sand Dune kira-kira 1.30 jam perjalanan dari hostel.

Banyak kedai-kedai disekitar Sand Dune yang menawarkan khidmat sewaan Sand Board atau papan luncur dengan serendah AUD12.

Source pic: tripadvisor.com.sg

Matahari mulai tegak di atas kepala, kami memulangkan Board dan beredar dari Lancelin setelah 2 jam di situ.

Ke mana kami???

Busselton. Terletak di Selatan Perth (Lancelin & Cervantes berada di utara Perth) dengan jarak 350km atau 3.45 jam pemanduan. Untuk road trip ni, kami tidak cerewet soal makanan. Makan apa yang ada sahaja tidak mengharap untuk duduk makan di restoran-restoram di sekitar. Save time, save cost.

Sampai di Busselton, hari sudah petang. Cek in di motel dan seterusnya kami ke Busselton Jetty yang terletak tidak jauh dari motel. Busselton Jetty adalah tempat masyarakat di sini memancing, beriadag dan bersiar-siar di petang hari. Laluan jetty jauh ke tengah laut dan kami berjaya berjalan sampai ke hujung jetty. Ada terfikir 'What if jambatan runtuh?'

Gambaran Busselton Jetty (memang tak best asyik gambar google πŸ˜‘)

Source pic: 50greatdives.com

19.00 hari sudah gelap. Kami berlegar-legar di sekitar Bandar kecil Busselton untuk makan malam. Jumpa kedai Fish & Chips, maka makanlah Fish & Chips sebagai dinner. Balik motel & rehat.

Hari ketiga di Perth:
Pagi-pagi lagi, kami meneruskan perjalanan ke Cape Naturaliste Lighthouse yang terletak di Margaret River, 30km jarak dari Busselton town.

Latest entrance fee: AUD15

Cape Naturaliste diaktifkan pada tahun 1904 dan dibina daripada batu kapur yang dikutip dari Bunker Bay yang berdekatan. Amat penting bagi pelaut-pelaut sebagai aras tanda untuk berlabuh.

11.00am,bergerak dari Cape ke Ngilgi Cave. Apa yang menarik, pintu masuk Ngilgi Cave adalah ke dalam tanah. Maksudnya, gua ini berada di bawah tanah. Susunan stalaktit dan stalagmit dalam gua ni sangatlah cantik. Nama Ngilgi Cave berasal dari Legenda Aborigin yang kaya menggambarkan pertempuran antara semangat yang baik (Ngilgi) dan roh jahat (Wolgine).

Latest entrance fee: AUD22.50

Source pic: pinterest.ca

Setelah hampir 2 jam di dalam gua, kami keluar dan menuju ke Bandar Perth. Kereta sewa akan dipulangkan pada hari ini memandangkan kami hanya akan menggunakan perkhidmatan bas dan teksi sahaja di bandar.

3 jam perjalanan ke Bandar Perth, pulangkan kereta dan bergerak ke AirBnB di Bandar Perth untuk bermalam.

Hari keempat di Perth:

Pagi hari keempat, kami ke Kings Park and Botanical Garden. Jalan-jalan, tengok memorial war dan sebagainya. Tenang. Sesuai untuk relaks, riadah atau membawa hati yang luka lara.

Source pic:wanderwisdom.com

Tengahari - kami habiskan masa di Harbour Town. Plan asal nak window shopping, sekali ada sale besar besaran, maka bershoppinglah kita. Dapatlah beli antaranya t shirt dgn harga AUD2.99 sehelai. Makan tengahari di Harbour Town. Di sini ada terdapat beberapa kedai makanan halal. Tak pasti sekarang masih wujud atau tidak kedai-kedai tersebut.

Sungguh, trip ke Perth ni saya tidak tahu apa-apa tentang travel. Tidak tahu membaca peta, laluan bas, nak naik bas mana pun tak tahu. Nasibla kawan yang mengajak dah expert dalam bidang travelling. πŸ˜…πŸ˜…. Dari sini lah saya dapat rasakan betapa tertutup dan bodohnya saya, tidak terdedah kepada perkara-perkara sebegini.

Sebelah petang, kami menaiki bas dan ronda-ronda Perth City, beli cenderehati dan sempat singgah bergambar di Swan Bell tower.

Seingatnya, sewaktu ke sana, tiada pas spesifik untuk menaiki bas. Naik bas, tanya pakcik berapa tambang dan bayar dengan syiling. Pernah tersalah naik bas, pakcik tu suruh duduk sahaja dalam bas tanpa bayaran hingga ke next station untuk kami tunggu bas yang betul. That is the friendliness of Australian.

Hari kelima di Perth

Bergerak ke Fremantle dengan menaiki keretapi dari Perth. Perjalanan selama 40 min. Destinasi pertama adalah Fremantle Market. Ada banyak lagi sebenarnya tempat menarik di sini tapi kesuntukan masa. Cenderahati murah di sini tapi mampu tengok je sebab duit dah nak habis πŸ˜‚πŸ˜‚. 

Sebelum bergerak pulang ke Perth, kami sempatlah makan fish and chips Fremantle yang orang cakap sedap tu..Mm entahlah apa bezanya. Tak pasti. Macam rasa fresh sikit je kot.

Flight pukul 3. Pukul 11 pagi masih di Fremantle. Nak balik naik train tak cukup duit, so kami pergi draw duit dekat ATM machine. Sampai di Perth, tertinggal pula bas untuk ke kediaman. Bagasi semuanya berada di kediaman. Tunggu punye tunggu pukul 1 masih di stesen bas. Cuba selongkar nombor teksi. Mahal pun mahal lah. Janji tidak terlepas flight 😣😣. Pemandu hantar kami ke kediaman dan kami minta tunggu kami amik luggage untuk terus ke airport.

Pukul 2 sampai airport. Nasib kaunter belum tutup. Fuhh..jantung tak henti berdebar. Maka selamatlah kami pulang ke tanahair. First time travelling dah thrill hahah.

Moral of the story, jangan buat bende last minute. Properly study and plan before you do something.

Bajet: terpulang pada diri masing2, nak mewah, gaya backpackers atau macamana. Asalkan selesa. Saya pun dah lupa berapa kos habis di Perth. 

Sekian

Monday 9 July 2018

Beginning of the journey - Perth (Part 1)

Setelah di selongkar sana - sini nampaknya tiada gambar Perth yang terselamat 😭😭😭

Maka saya akan menggunakan Google Picture untuk menggambarkan keadaan dan tempat-tempat tertentu.

Perth, destinasi pertama saya dalam dunia travelling. Reason being?? Kawan ajak dan ikut je blindly.

My previous impression about travelling; kumpul duit, pergi travel dan duit anda habis sekelip mata dalam beberapa hari πŸ˜‚πŸ˜‚. Jadi saya lebih suka habiskan duit membeli pakaian dan beg tangan.

Source pic:google

Perth terletak di Barat Australia, 5 jam penerbangan dari Kuala Lumpur dan mempunyai zon waktu yang sama seperti Malaysia.

5 hari 4 malam ~ 31/12/13 - 4/1/14

Hari pertama di Perth:

5.00am - tiba di Perth Airport. Penerbangan yang agak mencabar disebabkan air turbulence di perairan Indonesia. Selesai urusan kastam, kami menunggu bas di luar terminal T1. Bus route 380 untuk ke Perth City.

9.00am - Pick up car rental. Saya lupa nama syarikat sewa kereta pada masa tu. Kalau tak silap, Ace Rental Cars. Destinasi pertama adalah Caversham Wildlie Park. Terdapat hidupan liar bumi Australia seperti Kanggaroo, Tasmania Devil, Koala dan lain-lain yang confirm tak ada di Malaysia. Mungkin ramai sangat pelancong Malaysia ke sini, tandas di sini disediakan saluran getah paip untuk kemudahan pelancong.

Latest entrance fee: AUD29

                                            Source pic: http://www.cavershamwildlife.com.au

Setelah beberapa jam menghabiskan masa kejar kanggaroo, bergambar dengan koala & woombat, tengok farm show, kami menambil lunch ringkas sebelum bergerak ke Pinnacle Desert ~ 3 jam perjalanan dari Perth City.

Perjalanan ke Pinnacle National Park ditemani permandangan hutan renek Australia serta Indian Ocean. Selepas 3 jam atas jalan, sampailah di Pinnacle Desert, Nambong National Park.

Latest entrance fee: AUD25

Macam ni la rupanya Pinnacles tu..
Source pic: http://www.australia.com


Pinnacles ni terbentuk dari batu kapur yang berasal dari kerang di era sebelumnya yang kaya dengan kehidupan laut. Faham ke? πŸ€”πŸ€”

18.00pm - Hari dah gelap. Dari Desert kami ke sebuah hostel di Cervantes untuk bermalam.

Ikuti kisah hari 2 ke 5 dalam pos seterusnya.....







Sunday 8 July 2018

Bukan jumlah yang dihitung

Source Pic:Credit to Google
Salam/Hi,

Minat mengembara bermula dari tahun 2013 di mana destinasinya adalah Perth, Australia. Namun, tiada gambar untuk Perth kerana hilang sewaktu telefon lama rosak.

Saya tidak mempunyai kamera sebelum ini dan tidak menghargai betapa pentingnya sekeping gambar travel.

Time goes by and i have learned from the mistakes.

Negara yang pernah dijejaki:

1. Australia
2. Brunei
3. Indonesia
4. Thailand
5. Singapura
6. Korea
7. Japan
8. Austria
9. Vietnam
10. Germany
11. Slovenia
12. Chez Republic
13. Hungary
14. Hong Kong
15. Macao

Namun bukan jumlah negara yang dihitung tetapi berapa banyak ilmu, pengalaman dan bagaimana travel mengubah hidup.